• David Beckham David Beckham
1 /

BERBANDING desas-desus sebelum ini, bekas kapten England, David Beckham akan ada peranan dalam majlis perasmian  sukan Olimpik London. Temasya itu akan bermula Jumaat ini dan berlangsung hingga 12 Ogos.

Beckham, 37, bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai peranannya kerana penganjur mahu melakukan kejutan.

"Dipilih untuk merasmikan temasya sukan terbesar dunia itu merupakan satu kebanggaan buat saya. Lagipun, saya membesar di London. Dan, penghormatan ini membuatkan saya berbesar hati untuk melibatkan diri. Saya tidak akan lepaskan peluang yang ada. Dan, ini satu perkara yang menyeronokkan," kata Beckham.

Dalam perkembangan lain, meskipun dipilih untuk merasmikan temasya sukan Olimpik 2012, Beckham bagaimanapun telah digugurkan daripada skuad bola sepak Britain yang beraksi kali ini.

"Walaupun saya tidak terlibat secara kompetitif dalam sukan Olimpik, namun saya tidak akan berputus asa untuk terus beraksi dalam bola sepak antarabangsa. Saya akan sentiasa mempunyai cita-cita dalam bola sepak selagi saya bermain.

"Memang saya berusia 37 tahun, tetapi saya masih mahu terus memenangi kejohanan, saya mahu untuk menjadi yang terbaik dan saya yakin saya boleh melakukannya," jelas Beckham.

Sementara itu, ketua London 2012, Lord Coe berkata, beliau akan berbincang dengan Beckham mengenai peranannya semasa pembukaan sukan Olimpik.

"Beckham seorang model yang boleh memberikan peranan yang sangat besar kepada dunia sukan. Lagipun, sukan adalah acara untuk golongan muda. Jadi, dengan adanya Beckham sebagai duta untuk merasmikan Olimpik, ia akan menarik ramai penyokong.

"Oleh itu, perasmian temasya itu nanti akan dihadiri jutaan peminat untuk memberi sokongan," katanya.