KEKALAHAN 2-6 kepada Kuala Lumpur kelmarin tidak menjejaskan rentak Perak apabila mencatat kemenangan pertama dalam saingan hoki wanita Piala Razak 2017, semalam.

Skuad kendalian Mohamad Azlan Ahmad itu mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pendatang baharu Indonesia pada pertemuan Kumpulan A di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

"Kami sebenarnya tidak mempunyai apa-apa input mengenai kekuatan Indonesia.

"Apa pun, saya gembira kami akhirnya berjaya raih tiga mata hari ini selepas kekalahan besar kepada KL," katanya.

Dalam aksi semalam, kedua pasukan menampilkan permainan agresif di awal permainan namun kelebihan berpihak kepada Perak apabila memecah kebuntuan seawal minit ke-10 menerusi Sofia Eizzatul Eillyana Zambahari.

Wan Nur Syamielea Wan Mazli menambah gol kedua Perak menerusi jaringan padang di suku ketiga, sebelum Amira Natasha Abu Hasan menambah derita Indonesia dengan gol terakhir lima minit sebelum perlawanan tamat.

Sementara itu, pengurus Indonesia, Deny Fahruddin menerima positif kekalahan tersebut.

"Ini perlawanan pertama kami. Apa pun, saya gembira dengan persembahan setiap pemain.

"Kami berjaya memberi saingan, cuma tiada tuah menjaringkan gol," katanya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :