PERAK menamatkan penantian selama 18 tahun untuk muncul selaku juara Piala Malaysia 2018 selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) menerusi penentuan penalti 4-1 selepas kedudukan terikat 3-3 dalam aksi pentas final di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Pada pertemuan itu, TFC terlebih dahulu mengejutkan gawang pelawat menerusi jaringan pembukaan kapten pasukan, Kipre Tchetche seawal minit pertama perlawanan.

Pelawat yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan hasil kawalan ketat gandingan Igor Zonjic dan Abdul Latif Suhaimi.

Begitupun Perak hampir menemui jaringan pada minit ke-9 hasil percubaan luar kotak penalti, namun rembatan Brendan Gan sekadar melepasi palang gol.

Tujuh minit selepas itu skuda kendalian Irfan Bakti Abu Salim nyaris menggandakan jaringan menerusi gerakan solo Kipre Tchetche tetapi sepakan derasnya gagal menepati sasaran gol.

Peluang TFC untuk menambah jaringan sekali lagi hadir pada minit ke-18 menerusi lorongan kemas Kipre Tchechte namun gagal disudahkan dengan baik Abdul Malik Mat Ariff sebelum bekas pemain Kuantan FA itu turut berdepan situasi sama tiga minit selepas itu.

Empat minit sebelum tamat babak pertama perlawanan sorokkan penyokong skuad Penyu terus bergema apabila Kipre Tchetche meledakkan gol kedua TFC menjadikan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, Perak tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang kedudukan apabila Muhammad Firdaus Saiyadi berjaya menewaskan penjaga gawang TFC, Mohd Suffian Rahman K Raman untuk gol pembukaan pelawat pada minit ke-46.

Perlawanan tertangguh seketika apabila dicemari dengan insiden pergaduhan melibatkan kedua-dua pasukan yang berkesudahan pemain Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho diarah keluar padang setelah dilayangkan dua kad kuning manakala pemain TFC, Igor Zonic turut menerima kad kuning.

Pertengahan babak kedua menyaksikan TFC turut beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila Lee Andrew Tuck dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-66 menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan sepuluh orang pemain.

Kedua-dua pasukan terus melakukan asakan ke gawang masing-masing dan skuad kendalian Mehmed Durakovic akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Brandan Gan di penghujung permainan sekaligus membawa perlawanan ke masa tambahan.

TFC yang kembali memperkemaskan rentak permainan sekali lagi berada di depan menerusi jaringan ketiga yang disempurnakan dengan kemas, Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-95 bagaimanapun Perak berjaya mengikat kedudukan 3-3 apabila Igor Zonjic tertampan ke gol sendiri pada minit ke-120.