MOHD Nafiizwan Adnan berpeluang membalas dendam kekalahan mengejut kepada Ivan Yuen Chee Wern pada final Kejohanan Skuasy  Kebangsaan tahun lepas selepas kedua-dua pemain tersebut sekali lagi  membuat perhitungan di pentas final pada edisi ke-34 di sini esok.

Pada saingan separuh akhir divisyen premier lelaki di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini, Ivan Yuen, selaku juara bertahan, dengan mudah mengalahkan pemain pilihan kedua, Ng Eain Yow 11-5, 8-11, 11-4, 11-3 manakala Mohd Nafiizwan pula mengatasi Muhammad Syafiq Kamal 11-7, 12-10, 10-12, 11-3.

Kedua-dua pemain tersebut kemungkinan akan disenaraikan dalam acara perseorangan pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini berikutan kejohanan kebangsaan kali ini merupakan medan pemilihan bagi skuad negara ke Indonesia.

Dalam acara skuasy pada Sukan Asia, sesebuah negara hanya boleh menghantar dua pemain perseorangan dan empat pemain dalam acara berpasukan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Ivan Yuen, 27, berkata beliau hanya mahu seronok bermain seperti biasa pada perlawanan akhir tanpa meletakkan tekanan terhadap dirinya untuk mempertahankan gelaran menentang Nafiizwan, bekas juara dua kali pada 2015 dan 2016.

Sementara itu, dalam kategori wanita, seperti diramalkan, bekas juara 2014, Low Wee Wern akan berdepan dengan pemain nombor dua negara, S. Sivasangari pada final.

Wee Wern, yang kembali semula ke gelanggang selepas berehat selama 20 tahun akibat kecederaan, menempah slot ke final apabila menewaskan Aifa Azman 11-8,11-5, 7-11, 8-11, 13-11 dalam aksi separuh akhir.

Selain memburu gelaran ketiga selepas edisi 2012 dan 2014, Wee Wern turut bersaing merebut slot tunggal acara perseorangan wanita pada Sukan Asia 2018 selepas ikon negara, Datuk Nicol David bakal menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan pada temasya tersebut.

Wee Wern terpaksa berentap dengan Sivasangari untuk mengisi slot kedua apabila lawannya itu buat julung kali layak ke final selepas menyingkirkan pemain junior, Rachel Arnold 6-11, 11-8, 11-5, 11-13, 11-7 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Bernama