PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menolak khabar angin bahawa sukan skuasy mungkin akan digugurkan daripada Sukan Asia Jakarta Palembang, Ogos nanti.

Presidennya, Huang Ying How berkata, adalah mustahil untuk tuan rumah, Indonesia menggugurkan sukan ini memandangkan sudah ada perjanjian ditandatangani Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk skuasy dipertandingkan di Sukan Asia.

"Saya rasa bukan mudah pun untuk tuan rumah menggugurkan sukan ini kerana sudah ada perjanjian yang ditandatangani bersama OCA untuk skuasy dipertandingkan di Sukan Asia.

"Mungkin dalam enam bulan lepas, Indonesia ada berhasrat untuk gugurkan tujuh sukan termasuk skuasy, tapi saya difahamkan yang OCA tidak membenarkannya.

"Jadi, saya rasa ini hanyalah satu khabar angin dan saya sendiri tidak mendengar apa-apa daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu pun Persatuan Skuasy Indonesia," katanya.

Bagaimanapun, Ying How mengakui wujud satu masalah di Indonesia membabitkan gelanggang skuasy di Jakarta dan Palembang yang masih belum diselesaikan hingga hari ini.

"Jakarta dan Palembang tiada gelanggang skuasy yang bertaraf antarabangsa dan saya difahamkan gelanggang itu masih di fasa pembinaan.

"Saya yakin, hingga hari ini pun gelanggang itu masih belum siap. Tapi saya tak rasa itu satu isu besar kerana mereka masih mempunyai masa," katanya.