KBS pastikan Faisal Halim dapat rawatan percuma di ISN - Hannah

Hannah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Izham Ismail pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara KBS dan MAB di MAB Academy Campus pada Selasa. Foto Bernama
Hannah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Izham Ismail pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara KBS dan MAB di MAB Academy Campus pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan tonggak skuad Harimau Malaya Faisal Halim mendapat rawatan terbaik secara percuma di Institut Sukan Negara (ISN) sebagai menghargai jasa pemain 26 tahun itu kepada negara.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memastikan Faisal Halim mendapat sokongan dan rawatan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

"KBS mahu memberikan sokongan kepada Faisal Halim (melalui) ISN (yang) akan memberikan perkhidmatan termasuk fisioterapi apabila diperlukan oleh beliau secara percuma untuk pastikan beliau kembali pulih dengan cepat.

"Saya nak beliau tahu bahawa beliau betul-betul dihargai bukan saja oleh kerajaan tetapi semua rakyat Malaysia mendoakan beliau cepat sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan Malaysia Aviation Group (MAG) bersama Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail di Kampus Akademi Malaysia Airline Berhad (MAB) di sini pada Selasa.

Sambil mengecam sekeras-kerasnya insiden menimpa tonggak serangan Selangor FC itu, Hannah turut menyatakan kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana atlet mahupun masyarakat awam.

"Itu sebab saya nak pastikan polis ambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk pastikan motif ini kita kenal pasti. Kalau motif itu kita tidak kenal pasti, saya risau akan berlaku kepada orang lain, siasatan polis amat penting sekarang.

"(Piala Sumbangsih?) yang ini keputusan penganjur. Jadi, saya percaya penganjur akan membuat keputusan sendiri,” katanya yang masih menunggu masa sesuai untuk melawat Faisal Halim mengikut saranan doktor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya bersedia menawarkan perkhidmatan terbaik menerusi program berstruktur dan direka khas buat Faisal Halim berdasarkan kepakaran sains sukan dan perubatan sukan yang dimiliki oleh agensi berkenaan.

Beliau berkata, mengikut data terdahulu mereka perlu terlebih dahulu menganalisis secara terperinci kecederaan otot dialami pesakit sebelum memulakan sebarang proses rehabilitasi.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan dilaporkan mengalami kelecuran.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain kebangsaan selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Pemain pinjaman Terengganu FC itu dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!