KUALA LUMPUR - Pemenang pingat emas Sukan SEA KL 2017, Mohd Ali Yaakub gagal menandingi kepantasan ditampilkan Deok Jae Yoon dari Korea Selatan apabila tewas pada saingan Muay Thai ‘Asia Fighting Championship (AFC)’ malam tadi.

Walaupun bertarung sehingga ke pusingan akhir (pusingan ketiga) kategori 57kg, atlet Malaysia berusia 31 tahun itu mengalami kekalahan dengan keputusan 28-29, 27-30, 28-29 dalam acara utama kejuaraan berkenaan di Axiata Arena di sini.

Peserta Korea Selatan itu mempamerkan pukulan pantas sejak daripada pusingan pertama, manakala Mohd Ali kelihatan lebih berhati-hati, sebelum pertarungan berubah agresif di pusingan kedua selepas muka kedua-dua atlet berkenaan berlumuran darah.

Tiga minit terakhir pertarungan menjadi lebih sengit apabila penonton mula bersorak dengan panggilan  "Ali! Ali! Ali!", pada ketika atlet kelahiran Besut itu mengalami kecederaan di kepala dan dahi kanan sebelum beliau meneruskan saingan seminit kemudian.

"Saya minta maaf kepada semua penonton kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan. Saya sudah memberikan yang terbaik, tapi ia tidak cukup untuk raih kemenangan.

"Lawan saya mempunyai kelebihan kerana beliau lebih tinggi daripada saya. Selepas ini saya terpaksa ke hospital untuk jahit luka di kepala, mungkin perlukan dua jahitan," katanya selepas pertarungan itu.

Pada edisi sulung AFC di Singapura tahun lepas, Mohd Ali mengalami kekalahan 'knock-out (KO)’ di tangan Ralf Sarol Francisco dari Filipina.

Sementara itu, rakan sepasukan Mohd Amirul Ariffin tumpas kepada peserta terkemuka dari Singapura berusia 23 tahun, Bardon Ng dalam satu lagi kategori utama.

Beliau kalah dengan keputusan 27-30, 27-30, 27-30 mata dalam kategory 66kg.

Namun, ia adalah kegembiraan berganda buat Mohd Fazzatkie Zaki apabila menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017, Vo Van Dai dari Vietnam 29-28, 29-28, 30-27 bagi kategori 63kg dalam acara sampingan.

Semalam, peserta kelahiran Terengganu berusia 19 tahun itu meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 selepas menumpaskan T. Kabilan Jelevan dari Sarawak.

"Saya tidak menyangka dapat menewaskan beliau, tetapi amat bersyukur kerana dapat melakukannya. Saya pun memang letih kerana bertarung lima hari berturut-turut, baru sampai dari Perak pada 2 pagi," katanya.

Keputusan penuh:

75kg

Mansurbek 'Nomad' Tolipov (UZB) mn Liu Tian Jun (CHN) - TKO

66kg

Bardon Ng (SGP) mn Mohd Amirul Ariffin (MAS) - 30-27, 30-27, 30-27

65kg

Ryan Jakiri (PHI) mn Azwan Che (MAS) - TKO

63kg

Mohd Fazzatkie Zaki (MAS) mn Vo Van Dai (VIE) 29-28, 29-28, 30-27

62kg

Shinnosuke Nakaruma (JPN) mn Nur Humam (INA) - KO

61kg

Solbin Lee (KOR) mn Kai Chai (SGP) - TKO

60kg

Nguyen Tran Nhat (VIE) mn Zhaozhanshi (CHN) 30-27, 30-27, 30-27

57kg

Saentanong (THA) mn Izham Red Army (MAS) - 29-28, 30-27, 30-27

Wynn Neo (SGP) mn Junaris Sianturi (INA) - KO

Deok Jae Yoon (KOR) mn Mohd Ali Yaakub (MAS) 29-28, 30-27, 29-28

51kg

Waharin Inta (THA) mn Ariel Lee Lampacan (PHI) - keputusan sebulat suara