MAJLIS Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) muncul juara wanita Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM selepas menewaskan ATM 4-0 pada perlawanan terakhir di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

Hasil kemenangan itu, MPSJ menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan melangkah ke pusingan Grand Final yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Februari ini selaku pilihan utama.

Kemenangan MPSJ itu bermakna, mereka berjaya menyekat hasrat KL Felda United untuk memintas di saat akhir selepas diisytihar juara dengan beza hanya satu mata.

KL Felda United menamatkan liga di kedudukan kedua, bermakna mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 selepas menamatkan saingan dengan kemenangan besar 7-2 ke atas Sarawak.

Selangor PKNS di tangga ketiga, membawa pulang RM30,000 selepas mengumpul 45 mata.

Begitu pun, pasukan Unimap Perlis dihimpit rasa kecewa selepas gagal ke Grand Final selepas tewas 6-2 kepada PDRM pada perlawanan terakhir yang mereka wajib menangi.

“Kami merancang suatu yang besar untuk acara akhir dengan harapan peminat akan membanjiri Stadium Malawati bagi memberi sokongan kepada pasukan,” kata Setiausaha Agung Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Secara kasarnya, kami merancang mengadakan perlawanan membabitkan selebriti dan juga acara cabutan bertuah untuk dimenangi peminat,” katanya.

Pada saingan Grand Final nanti, MPSJ diletakkan dalam kumpulan A bersama Selangor, Kedah dan ATM.

Kumpulan B pula dibarisi KL Felda United, Selangor PKNS, Sabah dan PDRM.

MPSJ membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Nurul Suhada Nasir sebelum Nur Shazreen Munazol meledakkan dua gol pada minit ke-29 dan 32, menjadikan kedudukan 3-0 buat juara itu.

Selepas itu, satu gol jaringan Lanti Manggi pada minit ke-36, mengesahkan kemenangan dan kejuaraan liga buat MPSJ.

KL Felda United pula bermain dengan separuh tenaga, namun masih berjaya mencapai kemenangan besar 7-2 ke atas Sarawak DBKU.

Hanani Adriana Shamsul Azizan memulakan pesta jaringan pada minit kelapan, memadam gol pendahuluan Sarawak DBKU pada minit kelima yang dijaringkan Rogayah Ali.

Selepas itu Intan Nor meletakkan KL Felda di depan diikuti gol Noramisa Yahya (gol ketiga) pada minit ke-11. Hanani melengkapkan hatrik pada minit ke-16 dan 17.

Nora Aby Dardar menjadikan kedudukan 6-1 pada minit ke-19 manakala gol ketujuh tuan rumah dijaringkan Farahiyah Mohd Ridzuan pada minit ke-27.

Sarawak DBKU berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-32 hasil jaringan Nor Afiqah Rosli.

Keputusan: Wanita

Perak   2   -   1   Sabah
MPSJ  4   -   0   ATM
KL Felda United   7   -   2    Sarawak DBKU
Selangor   4   -   2   Negeri Sembilan
PDRM   6   -   2   Unimap