"SAYA bukan datang saja-saja. Saya nak bantu Perak menang piala.”

Itu reaksi pemain import baharu Perak, Misagh Medina Bahadoran yang bertekad membantu  skuad The Bos Gaurus itu memenangi piala saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Katanya, tekad berkenaan dibuat setelah menyaksikan sendiri suasana sukan bola sepak  di negara ini yang disifatkannya tidak banyak berbeza berbanding negara asalnya, Filipina.

Bagaimanapun, menurut bekas kapten skuad Global FC itu, tekad berkenaan akan hanya mampu direalisasikan sekiranya semua pihak melibatkan pengurusan serta pemain bersatu hati dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

“Saya nak mencapai ‘sesuatu’ di Perak. Saya bukannya ‘saja-saja’ datang ke sini, tetapi nak bantu Perak untuk memenangi piala.

“Sebelum ini bersama Global FC, saya pernah mengecap nikmat memenangi 11 piala dalam tempoh lima musim.

“Pada pengamatan saya, jika semua pihak boleh bekerjasama dan bersatu hati, kita boleh menang piala. Kita boleh menang liga. Sama seperti pasukan saya dahulu Global FC menewaskan JDT dalam saingan Piala AFC,” katanya.

Beliau ditemui media sempena majlis pengenalan pemain import pasukan Perak di Menara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) di SOHO 2, semalam.

Misagh mengakui gembira kerana diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad Kejor Yeop Skor itu dalam saingan Liga M, musim ini.

Katanya, peluang berkenaan akan digunakan sebaiknya bagi membantu skuad Seladang meraih lebih banyak kejayaan musim ini.

“Pertama kali datang ke sini saya agak terkejut menyaksikan saingan bola sepak di negara ini. Rakyat negara ini ternyata sukakan bola sepak berbanding sukan lain.

“Saya yakin, saya membuat keputusan yang tepat apabila memilih negara ini khususnya pasukan Perak untuk meneruskan karier saya dalam sukan bola sepak,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :