MELAKA United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana musim ini dengan kemenangan mudah 3-1 ke atas UiTM FC di Stadium Hang Jebat malam ini.

Keadaan padang yang agak basah kerana hujan membuatkan kedua pasukan memulakan permainan dengan agak berhati-hati.

Permainan belum mencecah minit pertama, Melaka United dikejutkan dengan gol awal UiTM FC hasil jaringan Da Cruz Guardiano Eliel hasil hantaran lintang Muhammad Afif Asyraf.

Belumpun reda pemain UiTM FC meraikan gol mereka, Melaka United terus menyamakan kedudukan apabila hantaran Labinot Harbuzi dari luar kotak penalti berjaya disempurnakan Ilija Spasojevic.

Gol penyamaan Melaka United ini seakan memanaskan pertemuan kedua pasukan bilamana serangan bertali arus dilancarkan UiTM FC.

Pada minit kelima, UiTM FC hampir di depan lagi apabila sepakan deras Muhammad Izman Solehin dari jarak 40 meter terkena tiang gol Melaka United.

Melaka United yang nyata menguasai permainan bagaimanapun gagal mempergunakan kelebihan ini apabila beberapa percubaan mereka berjaya diselamatkan penjaga gol UiTM FC, Kang Jin Ouk.

Sebagaimana pada separuh masa pertama, belum pun seminit separuh masa kedua bermula, Melaka United berjaya membolosi gawang UiTM FC menerusi Harbuzi.

Tujuh minit kemudian Melaka United terus mengukuhkan kedudukan di hadapan apabila hasil satu hantaran lintang R Surendran, Spasojevic berhadapan tugas mudah menewaskan Jin Ouk untuk gol ketiga Melaka United.

Dengan keselesaan tiga gol, Melaka United mula memperlahankan rentak permainan dan banyak bertahan bagi membolehkan mereka mengumpul tiga mata penuh malam ini.

Kemenangan ini turut meletakkan Melaka United dalam kelompok tiga teratas pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Perdana musim ini.