[DIKEMASKINI] SKUAD Bawah 23 Tahun Negara (B23) gagal mengakhiri saingan dengan rekod tanpa kalah apabila kecundang 2-3 ditangan Bahrain pada aksi terakhir Kumpulan E Di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang, sebentar tadi.

Tidak menurunkan kesebelasan terbaik memandangkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sudah pun layak dan bakal menentang Jepun pada Jumaat ini, rentak permainan Harimau Muda dilihat serba tidak menjadi dan gagal mencipta peluag.

Harimau Muda terlebih dahulu berada dihadapan apabila Syahmi Safari berjaya menewaskan penjaga gawang Bahrain, Ammar Ahmed hasil rembatan menarik dari luar kotak penalti pada minit ke 20.

Namun selang 13 minit kemudian, Bahrain menyamakan kedudukan melalui Mohamed Hardan sebelum rakan sepasukannya Hamad Alshamsan meletakkan pasukan mendahului Malaysia empat minit kemudian.

Deretan peluang terhidang separuh masa kedua dimiliki Bahrain yang gagal diterjemahkan penyerang dengan jaringan memperlihatkan kelemahan ketara benteng skuad Malaysia sehinggalah Mohamed berjaya meledak gol kedua buat dirinya dan ketiga Bahrain pada minit 89.

Malaysia berjaya merapatkan kedudukan ketika perlawanan menghampiri penghujung perlawanan hasil sepakan penalti yang disempurnakan Safawi Rasid namun sudah terlewat untuk memastikan rekod tanpa kalah dipertahankan.

Untuk rekod, Malaysia memulakan saingan Kumpulan E dengan kemenangan 3-1 mengatasi Kyrgyzstan pada aksi pembukaan sebelum dua hari kemudian menewaskan juara bertahan Korea Selatan, 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.