Misi penting Sivasangari

Sivasangari beraksi pada sesi latihan sebagai persiapan akhir sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjo Futo Arena. Foto: Bernama
Sivasangari beraksi pada sesi latihan sebagai persiapan akhir sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjo Futo Arena. Foto: Bernama
A
A
A

MISI mempertahankan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membawa makna lebih besar buat pemain skuasy wanita negara S Sivasangari apabila temasya itu turut menjadi medan penting dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui faktor berkenaan memberi motivasi tambahan menjelang saingan perseorangan wanita esok, namun pada masa sama sedar ia hadir bersama tekanan untuk mencapai sasaran.

"Sudah tentu matlamatnya ialah memenangi emas dan mempertahankan gelaran, tetapi semua orang mahu menang. Itu bukan persoalannya.

"Persoalannya ialah bagaimana saya akan membuat persiapan untuk setiap perlawanan dan bagaimana saya mahu bersedia dari segi mental," katanya.

Sivasangari berkata, mewakili Malaysia sentiasa menjadi sesuatu perkara istimewa buat dirinya, manakala peluang memburu tiket ke Olimpik melalui kejayaan emas menjadi satu lagi dorongan untuk memberikan yang terbaik di Aichi-Nagoya.

"Saya rasa kedua-duanya penting. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu perkara besar dan Sukan Asia ini juga sangat penting kepada saya.

"Tahun ini ada motivasi lain iaitu untuk mendapatkan tiket ke Olimpik. Jadi, ia menjadi motivasi tambahan dan tekanan tambahan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu memikirkan sasaran akhir, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada setiap perlawanan perlu dilalui.

Katanya, aspek mental memainkan peranan besar selepas menjalani persiapan fizikal menerusi latihan intensif kira-kira satu bulan setengah di Prague sebelum membuka kempen musim Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dengan beraksi di London dan Qatar.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah melakukan kerja dari segi fizikal, tetapi apabila tiba di kejohanan, ia lebih kepada mental.

"Saya mahu menang, itu matlamatnya, tetapi dalam proses itu ada banyak perkara lain perlu saya fokuskan. Saya hanya mahu mengambilnya satu langkah demi satu langkah dan fokus kepada apa perlu saya lakukan," katanya.

Sivasangari berkata, dua kejohanan PSA berkenaan turut membantunya mendapatkan semula rentak pertandingan selepas menjalani tempoh latihan panjang.

"Saya rasa saya beraksi lebih baik di Qatar. Sudah tentu apabila semakin banyak perlawanan, rentak permainan juga semakin baik.

"Saya gembira berada di sini dan teruja untuk beraksi di Sukan Asia ketiga saya. Saya baru mendapat rentak selepas bermain dua kejohanan berturut-turut dan saya masih segar, masih mahu berjuang dan masih mahu bermain," katanya.

Sivasangari sebelum ini mencipta sejarah apabila meraih emas perseorangan serta berpasukan wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dan kini hadir di Aichi-Nagoya dengan sasaran mempertahankan kejuaraan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!