TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu menyarankan supaya atlet paralimpik mencontohi atlet yang sudah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, lapor ROSILAWATIROSEDI.

Menurutnya, ia berikutan ramai atlet paralimpik yang berpotensi untuk diketengahkan dalam bidang masing-masing.

Katanya, ia sudah terbukti dengan kejayaan atlet yang berjaya memecahkan rekod Paralimpiad sebelum ini menerusi acara Lempar Cakera, Lontar Peluru dan acara olahraga bagi kategori 100 dan 200 meter dalam kejohanan Sukan Paralimpiad ke-16 di sini.

“Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk menjadikan kejohanan ini ini sebagai penanda aras bagi menarik lebih ramai atlet Orang Kelainan Upaya (OKU), menjadi pelapis untuk mengharumkan nama negara pada kejohanan sukan dunia,” katanya pada majlis perasmian penutup kejohanan di sini, kelmarin.

Kejohanan edisi kali ini terus menyaksikan penguasaan Bumi Kenyalang apabila kontinjen Sarawak terus mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak 16 kali, sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1996 dengan menggondol 72 pingat emas, 62 perak dan 54 gangsa.

Kontinjen tersebut turut dianugerahkan Piala Jaguh Negeri dan Piala Semangat OKU, kerana kerana berjaya mengumpul pingat emas paling banyak.

Manakala atlet olahraga kontinjen Kedah, Amir Firdaus Jamaluddin, 26, dinobatkan sebagai Olahragawan. Olahragawati pula menjadi milik atlet olahraga Sabah, Doriah Paulus, 26.