KELANTAN meletakkan sasaran mara ke pusingan akhir apabila memulakan saingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018, di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, bermula esok.

Pengurus Kelantan, Ahmad Faizal Husain berkata, misi utama pasukannya adalah melayakkan diri selepas enam tahun tidak membuat penampilan pada kejohanan kebangsaan itu.

“Kami mahu layak ke pusingan akhir LFK. Saya fikir sebagai sebuah pasukan yang membawa nama besar Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan), sudah tentu matlamat kami mahu mencapai sasaran itu.

“Sudah lama Kelantan tidak beraksi dalam LFK dan secara peribadi saya percaya ini masalah terbaik untuk membuktikan pasukan negeri ini boleh kembali bersaing pada pertandingan kompetitif itu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pada undian yang berlangsung di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini, Kelantan diundi dalam Kumpulan E bersama Selangor PJ Tigers dan Sabah.

Sebanyak 18 pasukan daripada seluruh negara mengambil bahagian dengan hanya dua slot iaitu juara dan naib juara layak secara automatik ke pusingan akhir LFK musim ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :