PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) melakukan rombakan dengan melantik Alfredo Gonzales sebagai pengurus baharu pasukan The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Gonzales menggantikan Datuk Rosmadi Ismail yang juga merupakan Naib Presiden Kafa.

Rosmadi berkata, Gonzales yang sebelum ini merupakan Pengarah Teknikal Kafa akan berperanan merancang, menyedia dan mengadakan modul latihan.

"Beliau diberikan tanggungjawab penuh membantu ketua jurulatih dalam menyediakan satu pasukan mantap yang mampu bersaing dalam baki Liga Super dan kempen Piala Malaysia musim ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penerapan teknik bola sepak Amerika Latin yang dibawa Gonzales menuntut perubahan dalam setiap aspek pentadbiran serta memerlukan komitmen seratus peratus setiap individu bagi menjayakan misi pasukan.

Dalam pada itu Rosmadi berkata, beliau sendiri akan bertindak selaku ketua kontinjen pasukan dengan dibantu Penolong Pengurus yang juga Naib Presiden KAFA Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang bertindak sebagai penolong ketua kontinjen.

Bagaimanapun katanya, Zahasmi Ismail dikekalkan sebagai ketua jurulatih The Red Warriors.

Katanya, Kafa perlu membuat perubahan dan penambahbaikan dengan mengambil pendekatan lebih profesional sebagai langkah mengharungi baki perlawanan yang semakin mencabar.

"Langkah penyusunan semula barisan pegawai ini diharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama berpasukan selain memenuhi hasrat penyokong untuk melihat Kelantan meraih pencapaian cemerlang pada musim ini," katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia untuk meminjamkan enam pemainnya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, sebagai langkah mengurangkan kos pembelanjaan persatuan itu musim ini.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengikat Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes bagi tempoh setahun sekali gus melengkapkan kuota pemain import skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
  • BEKAS pemain antarabangsa Indonesia, Ferdinand Sinaga menjadi buruan terbaharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk memperkuatkan Kelantan, pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) lebih berminat mendapatkan pemain Indonesia bagi memenuhi kuota Asia Tenggara untuk skuad The Red Warriors musim depan.
  • PENGERUSI Kelab Peminat Red Warriors Negeri Kelantan (KRWC) , Syed Abdullah Syed Mahmod Bukhari menafikan beliau mencampuri urusan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) khususnya dalam soal pemilihan pemain .