PENDEKATAN baharu latihan yang dilaksanakan Institut Sukan Negara (ISN) dan penyertaan dalam Program Podium antara faktor memacu kejayaan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, merangkul juara dunia di Hong Kong semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kejayaan pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu adalah pencapaian terhebat yang diukir dalam sejarah sukan basikal negara.

"Ada beberapa perkara telah diubah dari segi latihan, conditioning beliau... ia banyak membantu dari segi kepantasan dan kuasa seperti yang ditunjukkan dalam perlumbaan semalam," katanya pada sidang media di kementerian itu untuk memperkenalkan Duta Belia TN50 di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saiz fizikal bukan penghalang muncul juara dunia]   

Dalam perlumbaan di Hong Kong Velodrome Park semalam, Azizulhasni menamatkan penantian 10 tahun untuk bergelar juara dunia acara keirin.

Kejayaan menjadi atlet pertama negara memenangi emas di kejohanan trek dunia itu melayakkan Azizulhasni memenangi jersi pelangi, jersi yang dihadiahkan kepada juara dunia yang boleh dipakai dalam perlumbaan sepanjang tahun.  

Khairy berkata, beliau sedang meneliti permohonan ISN untuk membeli peralatan Terowong Angin (Wind Tunnel) yang berfungsi membantu meningkatkan prestasi Azizulhasni dan pelumba basikal lain bagi memenuhi impian memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.    

"Wind Tunnel ini bukan sahaja untuk sukan basikal tetapi beberapa lagi sukan yang melibatkan trek dan aerodinamik. Keputusan mengenainya akan dibuat pada masa terdekat," katanya, sambil menyatakan faktor harga tinggi memerlukan pihaknya membuat penelitian sewajarnya.    

Berhubung cadangan menamakan Velodrom Nasional di Nilai dengan nama Azizulhasni, Khairy berkata kerajaan kebiasaannya tidak menamakan mana-mana fasiliti sukan dengan nama atlet sehingga atlet itu bersara atau meninggal dunia.   

Namun terdapat beberapa pengecualian seperti menamakan Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dengan nama Datuk Nicol Ann David sebagai membalas jasa anak kelahiran Pulau Mutiara itu atas kejayaan yang dicapai, katanya.    

"Perkara ini boleh dipertimbang dan saya akan bincangkannya dengan Azizulhasni tetapi setakat saya mengenalinya, Azizulhasni bukanlah seorang jaguh yang mahu diagung-agungkan sehingga matlamat dan kerjayanya belum selesai," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELUMBA trek elit negara, Mohd Azizulhasni Awang gagal mara ke peringkat akhir pada siri kedua Kejohanan Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Manchester, England, pada lewat Ahad (awal Isnin waktu Malaysia).
  • JAGUH trek negara Azizulhasni Awang tidak dapat menamatkan perlumbaan acara keirin pada siri pertama Piala Dunia di Poland kerana terlibat dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.
  • IMPIAN 'The Pocket Rocket Man' - juara lumba basikal dunia acara keirin, Mohd Azizulhasni Awang untuk meraih emas acara itu pada Sukan Asia 2018 mungkin berkecai apabila penganjur temasya dilaporkan mahu menggugurkan acara berkenaan.
  • PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu juara Keirin Dunia, Azizulhasni Awang menjadi role model (contoh ikutan) rakyat Malaysia khususnya golongan muda dalam bidang sukan.
  • WALAUPUN sudah bergelar juara dunia, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizuhasni Awang tetap tidak mahu 'bersenang-lenang' sambil menikmati kejayaannya meraih pingat emas acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong, baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.