GREAT Britain berpesta gol apabila melakar kemenangan 11-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam saingan Piala Sultan Johor dengan Duncan Scott meledak hatrik di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, hari ini.

AS mempamerkan prestasi yang jauh lebih baik hari ini berbanding ketika tewas 0-19 di tangan juara bertahan, Australia, semalam - hanya membenarkan Britain menjaringkan dua gol di suku pertama.

Ketika menentang Australia, mereka ketinggalan 0-5 di suku pertama dan 0-12 sebaik tamat suku kedua perlawanan.

“Ia perlawanan yang baik tetapi kami terlepas banyak peluang bagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, ini sesuatu yang kami perlu perbaiki. Apa pun, keseluruhannya kami bermain dengan baik dan teruja untuk berdepan aksi seterusnya,” kata ketua jurulatih Britain, Jon Bleby.

Sementara itu, ketua jurulatih AS, Brian Schledron berkata persembahan anak buahnya lebih baik dengan mengambil kira ia hanyalah perlawanan kedua buat pasukan itu.

“Pemain bermain dengan baik di separuh masa pertama. Kami berjaya mengekang Britain daripada menjaringkan banyal gol.

“Saya fikir penjaga gol kami (Nathaniel O’Lari) dan pertahanan (Zaid Hassan) beraksi cemerlang tetapi malangnya kami tewas. Apa pun kami perlu bersikap positif dalam setiap perlawanan,” katanya.

Britain melancarkan serangan awal dan meraih tiga pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya sehinggalah Cameron Golden meledak dua gol minit ke-6 dan  Duncan minit 15 bagi meletakkan pasukan itu mendahului 2-0.

Terdahulu, kubu AS diasak seawal minit kedua apabila kapten Britain, Jack Waller melakukan pukulan deras  ke AS namun pasukan itu bernasib baik apabila tonggak pertahanan, Zaid Hassan berada di garisan gol untuk menyelamatkan percubaan berkenaan.

Bagaimanapun, kelemahan ketara di bahagian pertahanan AS di babak akhir perlawanan membenarkan Britain memenangi 11-0 hasil jaringan Duncan (minit 40 dan 41), Golden (44), Benjamin Francis (45 dan 46), Callum McKenzie (47), James Sutcliffe (54), Edwars Way (56) dan Alaxender Blumfield (59).

Barisan pemain AS bagaimanapun dilihat belum berputus asa apabila cuba bangkit selepas melepaskan lapan gol dengan meraih dua pukulan sudut penalti buat kali pertama dalam kejohanan tetapi percubaan Vincent Heller dan Dean Schiller tersasar.

Secara keseluruhan, Britain menguasai perlawanan dengan baik berbanding AS dengan corak serangan pantas tetapi beberapa peluang yang dicipta gagal disempurnakan susulan ketangkasan ditunjukkan penjaga gol AS, O’Lari bagi menyelamatkan gawang pasukannya daripada dibolosi lebih banyak gol.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEKALAHAN 2-6 kepada Kuala Lumpur kelmarin tidak menjejaskan rentak Perak apabila mencatat kemenangan pertama dalam saingan hoki wanita Piala Razak 2017, semalam.
  • PERAK berjaya merampas gelaran juara Kejohanan Hoki Piala Razak 2017 selepas menundukkan juara bertahan, Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah di sini, malam ini.
  • PASUKAN hoki wanita negara akan berdepan Thailand dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam kejohanan hoki Piala Asia 2017 esok, selepas menang 2-1 ke atas Kazakhstan, hari ini.
  • SKUAD hoki wanita negara gagal meneruskan prestasi baik pada Piala Asia 2017 apabila tumpas 0-2 kepada Jepun pada perlawanan suku akhir berlangsung di Stadium Hoki Gifu di Jepun, hari ini.
  • SKUAD hoki wanita negara meraih kemenangan pertama Kejohanan Piala Asia 2017 selepas membenam Singapura 8-0 pada perlawanan tertangguh Kumpulan A di Stadium Kawasaki Green di Kakamigahara, Jepun, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.