DUA pemain import Liga Super, Francis Forkey Doe, dari Terengganu dan Effa Owona (Negeri Sembilan) dinobat sebagai pemenang kasut emas Liga Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini apabila mengumpul 15 jaringan sepanjang saingan liga.

Menjadi tonggak utama pasukan Terengganu, Forkey yang berasal dari Liberia menyifatkan kemenangan itu bukan kejayaannya seorang.

Sebaliknya, beliau yang Lebih gemar bergerak dalam satu pasukan menganggap kejayaannya merangkul kasut emas adalah milik bersama skuad Penyu.

"Pencapaian ini merupakan penunjuk kepada prestasi saya dalam pasukan. Jika tidak mengalami sebarang kecederaan, sudah tentu saya mampu melakukan lebih banyak jaringan.

"Saya juga amat berterima kasih kepada pasukan Terengganu dan juga penyokong yang sentiasa bersama kami," katanya ketika ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.

Gembira beraksi bersama Terengganu meskipun skuad Penyu hanya berada di tangga kelima liga, Forkey berharap dapat membantu Terengganu dalam saingan Piala Malaysia nanti.

Sementara itu, penyerang pasukan Liga Perdana, PDRM, Khairul Izuan Abdullah, muncul pemain terbaik dengan 23 jaringan.

Berhasrat untuk beraksi dengan pasukan Negeri Sembilan sebagai pemain pinjaman dalam saingan Piala Malaysia, pemain kelahiran Kedah ini berharap perbincangan pihak pengurusan dengan skuad Jang itu berpihak kepadanya.

"Ada tiga pasukan yang menyarakan hasrat untuk meminjam saya bagi membantu mereka dalam saingan Piala Malaysia nanti, namun minat saya lebih kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai pasukan yang kuat dan juga berpotensi untuk berjaya," katanya.

Selain mengumumkan pemenang kasut emas, FAM hari ini turut menyampaikan pingat dan juga piala beserta hadiah wang tunai dan insentif berjumlah RM5,445,616 kepada pasukan Liga Malaysia musim ini.


Berikut pemenang-pemenang:

Piala Presiden
Johan - Perak RM100,000
Naib Johan - Negeri Sembilan RM50,000 


Liga FAM
Johan- Kuala Lumpur SPA RM 60,000
Naib johan - Shahzan Muda  RM RM30,000 


Liga Perdana
Johan - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) RM300,000
Naib Johan - Pahang RM150,000
Ketiga - Sime Darby RM75,000


Liga Super
Johan - Kelantan RM750,000
Naib johan - Lions XII RM450,000
Ketiga - Selangor RM300,000