PEMAIN baharu Felda United yang dipinjamkan dari Kedah, Ahmad Fakri Saarani tekad  membantu The Fighters menjulang beberapa kejuaraan.

Fakri menyifatkan keseimbangan barisan pemain Felda United menjadikannya lebih yakin untuk menggalas tanggungjawab selaku penggempur.

“Felda sebuah pasukan yang kuat. Barisan pemainnya yang tampak seimbang menjadikannya antara pasukan yang digeruni di Liga Malaysia.

“Saya yakin bermain di bawah kendalian Irfan Bakti (Abu Salim) kerana dia pernah membimbing saya sebelum ini.

“Jadi saya tahu saya mampu melakukan yang terbaik bersama pasukan ini kerana sudah pasti coach tahu di mana letaknya kekuatan saya,” katanya.

Mengenai masa depannya bersama Felda United, Fakri menyifatkan terpulang kepada pihak pengurusan sama ada mahu meneruskan kontraknya bersama pasukan atau tidak.

“Bagi saya, sebagai pemain bola sepak profesional, saya akan melakukan yang terbaik dan beri 100 peratus komitmen untuk membantu pasukan,” katanya.