DUO import dari Indonesia yang akan menyarung jersi The Red Giants musim 2018, bertekad memperbaiki keserasian bersama pasukan selepas menjalani perlawanan persahabatan pertama bersama skuad itu kelmarin.

Dalam perlawanan bertemu Terengganu FC II (TFCII) di padang Latihan Sime Darby Bukit Jelutong kelmarin, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn membuat debut pertamanya bersama Selangor dalam perlawanan yang berkesudahan Gergasi Merah menang 1-0 menerusi sepakan penalti Amri Yahyah.

Ditemui selepas perlawanan, Evan mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaikinya terutama dalam aspek keserasian bersama pemain lain.

Bagaimanapun dia optimis, sedikit masa lagi keserasian itu dapat dicapai.

"Ya, mungkin ini perlawanan pertama kami. Jadi mungkin ada sedikit kekurangan di sana sini, tapi saya yakin lama kelamaan nanti kami dapat memperbaiki segala kekurangan.

"Sekarang, apa yang saya mahukan ialah untuk memberi yang terbaik dan membantu Selangor untuk mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya.

Nada sama turut diungkapkan Ilham yang berkata, walaupun masih baru di Malaysia, namun rakan sepasukan banyak membantu beliau dan Evan untuk menyesuaikan diri.

"Ya, kami masih dalam proses menyesuaikan diri, tetapi apa yang boleh saya katakan kami sangat selesa bersama pasukan kerana semua rakan-rakan banyak membantu kami terutama Razman Roslan selaku kapten yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami," katanya.