DUA juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan Cheong Jun Hoong dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan di Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017 yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Gelaran juara dunia yang diraih Azizulhasni dan Jun Hoong telah mengangkat mereka meraih anugerah sukan tertinggi negara ini sekali gus mengenepikan pesaing terdekat masing-masing.

Azizulhasni atau digelar The Pocket Rocket Man, mencipta sejarah tersendiri apabila menggegar dunia dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia (UC) di Hong Kong tahun lalu, manakala Jun Hoong pula unggul meraih pingat emas acara terjun 10 meter platform pada Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Julai tahun lepas.

Kedua-dua mereka telah membawa pulang wang tunai RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil selaku pemenang utama.

Dalam pada itu, Muhammad Ziyad Zolkefli diangkat sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan menerusi kejayaannya meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pasukan hoki lelaki dan pasukan tenpin boling wanita negara pula menjulang anugerah pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, manakala anugerah jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan masing-masing diraih Mohd Poad Md Kassim (Olahraga) dan Yoong Sze Yuin (bola keranjang).

Tahun ini, Majlia Sukan Negara (MSN) telah menerima 83 senarai calon untuk 11 kategori yang ditawarkan yang mana jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding edisi sebelum ini, sekali gus membuktikan prestasi atlet negara kini semakin melonjak ke tahap agak meyakinkan.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

Ia bertindak sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk terus mempertingkatkan prestasi masing-masing.

SENARAI PENUH PEMENANG ASN 2017:

1. Olahragawan Kebangsaan - Mohd Azizulhasni Awang @ Muda (Berbasikal)

2. Olahragawati Kebangsaan - Cheong Jun Hoong (Terjun)

3. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga)

4. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Tiada pemenang

5. Pasukan Lelaki Kebangsaan - Pasukan Hoki Lelaki

6. Pasukan Wanita Kebangsaan - Pasukan Tenpin Boling Wanita

7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Mohd Poad Md Kassim (Olahraga)

8. Jurulatih Wanita Kebangsaan - Yoong Sze Yuin (Bola Keranjang)

9. Anugerah Tokoh Sukan - KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (Persatuan Bola Sepak Malaysia)

10. Anugerah Kepimpinan Sukan - Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (Persekutuan Lawn Bowls Malaysia)

11. Anugerah Khas - Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) & Hafizh Syahrin Abdullah