KUALA LUMPUR - Polis telah merakamkan kenyataan daripada 27 individu sejak tahun lepas dan lebih banyak saksi dijangka akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing berjumlah RM31.5 bilion yang dialami  Bank Negara Malaysia (BNM) antara  1992 dan  1994.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, 19 orang daripada mereka adalah daripada BNM, lima daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan tiga lagi daripada sektor berlainan.

“Buat  masa ini, mereka disiasat bagi kesalahan menipu mengikut Seksyen  417 dan  418 Kanun Keseksaan. Tumpuan utama siasatan polis adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat elemen sengaja menyembunyikan fakta untuk menutup kerugian yang dialami BNM dan sama ada terdapat kenyataan mengelirukan yang dibuat kepada Kabinet, Parlimen dan masyarakat berhubung kedudukan kewangan sebenar BNM.

“Selain itu, kami akan menyiasat sekiranya terdapat sesiapa yang dengan sengaja melakukan pengabaian untuk menyembunyikan kerugian sebenar dan sama ada pemindahan serta penjualan saham Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dimiliki MOF, untuk menyerap sebahagian daripada kerugian yang dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing untuk meningkatkan kunci kira-kira BNM,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Amar Singh berkata siasatan polis masih berjalan dan akan dipertingkatkan dengan memanggil lebih banyak saksi  serta mendapatkan lebih banyak dokumen daripada lembaga atau agensi yang berkaitan untuk melengkapkan siasatan secepat mungkin.

“Sebaik sahaja siasatan ini lengkap, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kerugian berjumlah RM772.3 juta pada 1988 dan RM2.259 bilion pada 1989 yang dialami Bank Negara akibat urus niaga Mata wang asing.
  • JITRA - Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas terbabit dalam kes penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta di sekitar negeri Kedah.