KUALA LUMPUR - Jenazah 23 mangsa kebakaran pusat tahfiz  Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung sini hari ini mungkin dikebumikan dalam satu liang lahad sekiranya mendapat persetujuan keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menguruskan dari awal hingga akhir urusan pengkebumian jenazah kesemua mangsa kebakaran pagi tadi.

"Jika mendapat persetujuan waris keluarga, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul  Sakinah di Karak," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran di pusat tahfiz itu.

Beliau berkata, proses pengkebumian akan dilakukan secepat mungkin selepas proses forensik selesai.

Dalam pada itu katanya, Jawi dan MAIWP juga akan memberikan kesemua bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang terselamat termasuk penempatan sementara mereka.

Asyraf berkata, seorang kaunselor juga disediakan untuk setiap keluarga bagi memastikan psikologi dan emosi mereka dapat diurus dengan baik akibat trauma kejadian.

Sementara itu, beliau merayu keprihatinan dan rasa tanggungjawab rakyat Malaysia supaya tidak terus menularkan gambar mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

"Dengan rasa amanah dan tanggungjawab tolonglah jaga sensitiviti keluarga dan hormati jenazah. Jika berlaku pada keluarga kita sendiri ia pasti meruntun perasaan kita," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta berhati-hati dengan sebarang pungutan derma kilat berikutan kejadian kerana dikhuatiri terjebak dengan penipuan. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon orang ramai agar tidak menularkan gambar-gambar mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
  • SHAH ALAM - Trend ekstremis jihad di negara ini kini menunjukkan perubahan dan mula memberikan cabaran besar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
  • SHAH ALAM - Berikutan isu melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang hangat diperkatakan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil menuntut agar semua pihak berlaku adil dalam menilai.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.