KUALA LUMPUR - Wanita Umno yakin Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahan kerusi Dun Rantau dalam PRK nanti.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana Mohamad mempunyai rekod cemerlang bukan sahaja di Dun Rantau malah ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Katanya, kecemerlangan Mohamad diakui sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

“Mohamad merupakan calon yang berwibawa dan berkaliber untuk mengekalkan kerusi Dun Rantau dalam PRK yang bakal diadakan. Sejak mula bertanding di kerusi Rantau pada 2004, Mohamad telah menunjukkan rekod cemerlang.

“Apatah lagi Aminuddin beberapa hari selepas PH berkuasa pada 13 Mei 2018, mengiktiraf pencapaian cemerlang yang ditonjolkan Mohamad dalam membangunkan Negeri Sembilan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu katanya, Wanita Umno akan membantu parti mempertahankan kerusi berkenaan dengan memastikan kemenangan terus berpihak kepada penyandangnya, Mohamad.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Tok Mat di Dun Rantau]

[ARTIKEL BERKAITAN:  PRK Rantau: Umno calonkan Mohamad Hasan]

Kemenangan Mohamad terbatal selepas Hakim, Datuk Azimah Omar membuat keputusan berdasarkan hujahan daripada peguam pempetisyen, Dr S Streram dan responden Mohamad dalam perbicaraan yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Sehubungan itu katanya, mahkamah memerintahkan satu pilihanraya kecil untuk kawasan Dun Rantau diadakan serta merta.

Streram telah memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi memohon supaya mahkamah membatalkan keputusan SPR yang memutuskan Mohamad menang tanpa bertanding pada PRU14, 9 Mei lalu.