BANGI - Semasa bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hangat terasa di seluruh pelosok negara, berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat tentang nilai-nilai demokrasi dan makna pilihan raya itu sendiri.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Ghapa Harun berkata keadaan ini berlaku disebabkan kefahaman terhadap demokrasi dan tahap literasi politik rakyat yang masih rendah.

Selain itu, masih wujud pihak yang cuba membangkitkan suasana panas dengan mengundang provokasi yang boleh mencetuskan insiden pergaduhan dan kekecohan.

Semuanya kerana keghairahan parti-parti politik memancing undi bagi merebut kuasa sehingga sanggup melupakan nilai-nilai murni dalam sistem demokrasi itu sendiri.

Tingkat leterasi politik
   
Abdul Ghapa menjelaskan bahawa penubuhan kerajaan sendiri yang absah dan diyakini rakyat melalui proses pilihan raya yang bebas, bersih dan adil berkait rapat dengan sistem demokrasi.

Justeru, adalah penting perjalanan pilihan raya berlangsung secara teratur dan telus. Setiap rakyat yang layak mengundi pula mestilah melaksanakan hak-hak mereka secara bijaksana.

Tegas beliau, untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara demokrasi matang, tahap literasi politik rakyat harus ditingkatkan selain memastikan pilihan raya yang bersih daripada pergeseran.

Tambah beliau, kegagalan kebanyakan negara mempertahankan sistem demokrasi lazimnya berpunca daripada kurang pemahaman rakyat tentang demokrasi, tiadanya budaya politik yang sihat, perjalanan proses pemilihan yang diragui, dan sikap toleransi rakyat yang rendah.

Kelemahan itu menyebabkan masih wujudnya unsur-unsur sentimen dan emosi yang tebal dalam mencorakkan sikap politik rakyat yang tidak serasi dengan nilai-nilai demokrasi.

"Unsur-unsur inilah yang menyebabkan banyak negara yang baharu merdeka masih belum mencapai tahap demokrasi matang berbanding negara-negara maju antaranya Amerika Syarikat dan Jepun.

"Perjalanan sistem demokrasi di negara kita pun masih belum mencapai tahap kematangan seperti itu. Proses politik kita sebenarnya masih lagi kuat dipengaruhi emosi dan sentimen. Jadi dalam usaha meningkatkan tahap literasi politik rakyat, penerapan nilai murni demokrasi mestilah dipertingkatkan," jelas beliau.

Jangan mudah dimanipulasi
   
Langkah itu, katanya, perlu diberi perhatian kerana apabila pemahaman terhadap demokrasi dan pilihan raya rendah, sikap politik rakyat dengan mudah dimanipulasi oleh pelbagai pihak menerusi retorik dan provokasi yang tidak bertanggungjawab.

Ini juga akan menyebabkan rakyat mudah bertindak balas terhadap sesuatu pihak atau isu berdasarkan emosi dan sentimen yang melulu.

"Bagi negara kita yang pelbagai kaum, adalah penting pelbagai pihak memiliki nilai, sikap dan kesedaran berpolitik yang terdidik dan bertanggungjawab.

"Rakyat yang masih mempunyai literasi politik rendah, sukar membuat penilaian dan melihat sesuatu isu yang dilontarkan, khususnya isu kaum dan agama, secara berhati-hati dan mereka lebih cenderung bertindak balas secara emosional dan mereka tidak lagi menilai sesuatu isu itu daripada sudut pertimbangan yang lebih rasional," kata Abdul Ghapa.

Dalam sebuah demokrasi matang, asas pertimbangan utama dalam membuat keputusan untuk memilih sesebuah parti adalah berdasarkan kepada fakta-fakta melalui rekod dan prestasi perkhidmatan sesebuah parti dan calon bukannya kepada emosi politik yang dibangkitkan.

"Inilah yang dimaksudkan dengan literasi politik. Yang paling penting, memeriksa rekod prestasi parti dan calon yang dipertaruhkan kerana merekalah yang akan menjadi wakil suara dan kehendak rakyat," katanya.
       
Bersama tingkatkan kematangan demokrasi
   
Literasi politik dalam kalangan masyarakat sentiasa berlingkung dalam kehidupan seharian yang diperoleh melalui sistem pendidikan yang diterima ketika di alam persekolahan, pendidikan lanjutan dan juga menerusi saluran media dan pergaulan seseorang.

Abdul Ghapa menjelaskan, literasi politik dan nilai-nilai murni demokrasi tidak tumbuh secara sendiri. Ia berlaku menerusi sosialisasi dan pendidikan berterusan.

Tangungjawab untuk meningkatkan tahap literasi politik dan nilai-nilai berkenaan perlu dipikul oleh semua pihak, katanya.

"Paling penting, pemimpin dan parti politik hendaklah memainkan peranan mendidik rakyat dan para penyokong mereka dengan menerapkan nilai-nilai politik yang serasi dengan demokrasi. Tanpa adanya kesedaran tentang hal ini proses untuk menuju sebuah demokrasi matang tidak akan berjalan lancar," kata beliau.

Setelah melalui 12 pilihan raya, semua parti politik seharusnya sudah mempunyai kesedaran tentang tugas dan peranan masing-masing dalam sistem demokrasi, proses pilihan raya dan nilai-nilai yang harus ada.

Tetapi selama ini parti politik di negara ini lebih menumpu kepada mendoktrinasi ideologi masing-masing dalam kalangan rakyat berbanding menerapkan nilai-nilai demokrasi, tambah beliau.

Gandingan peranan pelbagai pihak, khususnya media serta kerajaan adalah penting ke arah meningkatkan literasi politik dan menyuburkan nilai-nilai murni semua pihak.

Tambah beliau, sekiranya ini berlaku pada tahap pemimpin dan parti politik, rakyat pasti akan mengikutnya. Ini adalah prasyarat utama bagi membentuk sistem demokrasi yang matang.

"Sudah tiba masanya dalam pilihan raya kali ini, setiap parti politik yang bertanding menawarkan agenda dan program-program yang realistik dan boleh membangkit kepercayaan rakyat serta tidak lagi menggunakan pendekatan memanipulasi sentimen dan emosi mereka hanya semata-mata untuk meraih sokongan," kata Abdul Ghapa mengakhiri perbualan. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.