Mereka cuba pecah belahkan Pas tapi gagal – Annuar Musa

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan wujud cubaan pihak tertentu untuk memecahkan parti itu, namun usaha berkenaan gagal.
Beliau berkata, sehingga kini perpecahan tidak berlaku dalam Pas dan parti itu sebaliknya kekal fokus untuk terus memperkukuh kedudukannya.
“Mereka cuba memecah-belahkan Pas. Alhamdulillah, mereka tetap gagal. Pas jalan terus,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook pada Jumaat.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu tidak menamakan individu yang didakwa cuba memecah-belahkan parti berkenaan.
Annuar juga tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai usaha yang telah dilakukan pihak terbabit bagi menghancurkan kesepakatan antara pimpinan dan ahli Pas.
Ketika ini, beberapa nama daripada Pas disebut-sebut layak mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas penyandangnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa Khamis.
Peletakan jawatan Muhyiddin itu turut dilihat menambahkan ketegangan antara Pas dan Bersatu apabila beberapa pimpinan utama Bersatu turut meletakkan jawatan dalam PN.
Pada 25 Disember lalu, Menteri Besar Perlis daripada Pas, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk daripada Bersatu, menandatangani akuan berkanun (SD) bagi mengisytiharkan penarikan sokongan terhadap beliau.
ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, namun pelantikan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Pas.
Bagaimanapun, Annuar pada Selasa lalu turut mendedahkan keputusan Muhyiddin melepaskan jawatan itu tidak didasari konflik di Perlis, sebaliknya dibuat kerana beliau sudah bersedia lebih awal untuk menyerahkan kepimpinan PN kepada Pas.
Perkara itu disuarakan Muhyiddin dalam pertemuan antara mereka berdua di sebuah restoran di London pada Isnin lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Annuar memaklumkan Muhyiddin secara konsisten sebanyak lima kali mengulangi kesediaannya untuk melepaskan jawatan pada bila-bila masa sekiranya Pas bersedia memimpin PN.
“Banyak komentar yang tidak tepat mengenai Muhyiddin. Ada juga yang mengambil kesempatan memfitnah Pas serta memandang serong terhadap Muhyiddin. Kita tahu tujuannya,” katanya.
Ringkasan AI
- Tan Sri Annuar Musa mengatakan ada cubaan untuk memecahkan Pas namun gagal
- Pas kekal fokus dan tidak berpecahan walaupun ada usaha untuk memecahkan parti
- Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu tidak menyebut nama individu yang cuba memecahbelahkan Pas
- Ketegangan antara Pas dan Bersatu meningkat selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional
- Muhyiddin menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kepimpinan PN kepada Pas dalam pertemuan di London
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

