SHAH ALAM – Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz yang dianjurkan Amanah semalam merupakan bentuk manipulasi terhadap bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik yang telah tiada.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, apa yang cuba disampaikan Amanah bersifat manipulasi kerana Nik Aziz tidak ada kena mengena dengan Amanah dan terus istiqamah bersama Pas sehingga ke akhir hayatnya.

“Semalam Amanah mengadakan seminar pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Tujuannya adalah untuk menggambarkan parti yang mereka tubuhkan daripada serpihan Pas adalah selaras dengan pemikiran dan direstui Allahyarham Tok Guru.

“Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada Pas. Itu adalah fakta semasa hayat beliau. Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia. Tetapi kita tiada hak menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi,  tindakan Amanah adalah satu jenayah intelek terhadap nama baik Nik Aziz.

“Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini. Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji.

“Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu Allahyarham tidak boleh menjawap bagi menafikannya,” katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Perwakilan Pahang, Wong Chun Yuan menyanjung tinggi sifat kepimpinan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  • SHAH ALAM - Amanah hari ini melahirkan rasa kesal berhubung tuduhan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terhadap penganjuran 'Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat' oleh pihaknya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.