KUALA TERENGGANU – Pas mungkin tidak akan meletakkan calon dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis sekiranya BN dan parti pembangkang lain turut bertanding.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas hanya berminat untuk bertarung dalam persaingan dua penjuru kerana matlamat parti itu bertanding adalah untuk menang.

“Apa yang kita harapkan kalau pembangkang lain tidak berhasrat bertanding dan menjadikan saingan dua penjuru, Pas kena letak calon.

“(Tapi) kalau berlaku tiga penjuru, kita akan pertimbangkan dan kaji balik,” katanya.

Keputusan tersebut kata Takiyuddin bagi mengelak Pas mengalami kekalahan kedua selepas PRU14 kerana pertandingan lebih daripada dua penjuru dijangka tidak memihak kepada Pas.

Ia ekoran pencapaian Pas di Dun Sungai Kandis dalam PRU14 adalah pada tahap sederhana dengan parti itu memperoleh undi sebanyak 7,573.

“Kita tak mahu perpecahan, tujuan bertanding untuk menang dan sekiranya (Pas) letak calon dan calon banyak penjuru, jadi akan ulangi keputusan PRU14 dan tidak mencapai matlamatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat dan Pas Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan barisan kepimpinan Pas lain.

Lebih 5,000 tetamu hadir ke majlis itu yang pertama kali diadakan secara bekerjasama antara Pas Pusat dan Pas Terengganu.

Kerusi N49 Dun Sungai Kandis yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, Isnin lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim, Selasa lalu.

Pada PRU lalu, Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).