PRU16: Muhyiddin masih relevan jadi calon PM

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Mohammad Tawfik)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Mohammad Tawfik)
A
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi relevan untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu masih ada kekuatan daripada segi pengalaman, jasa dan gaya kepimpinan yang mampu melonjakkan sokongan kepada gabungan berkenaan.

Menurutnya, PN juga perlu mengelakkan pertembungan kuasa ketika momentum sokongan kepada gabungan tersebut dilihat semakin meningkat dan Muhyiddin masih bertenaga.

“Saya melihat Muhyiddin masih relevan dalam kalangan penyokong dan sebahagian rakyat yang mempunyai pengalaman berada di bawah pentadbiran beliau sebelum ini.

“Malah apabila turun ke mana-mana tempat berkempen pilihan raya atau bertemu dengan rakyat secara bersahaja, mereka masih menghormati beliau atas jasa kepimpinan sebelum ini.

“Saya berpandangan itu (kekalkan Muhyiddin) adalah langkah tepat kepada PN untuk memberi saingan lagi sengit dan menggantikan BN sepenuhnya yang semakin berhadapan kemerosotan sokongan daripada orang Melayu dan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PN tidak pernah membincangkan calon Perdana Menteri selain mengekalkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU16 akan datang.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, gabungan itu tidak berganjak dengan pendirian berkenaan kerana yakin pimpinan Muhyiddin adalah yang terbaik untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohammad Tawfik, sukar untuk mencari pengganti daripada kalangan pemimpin PN setakat ini yang mempunyai pengalaman dan kemampuan menerajui kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis Covid-19 dan konflik politik tanpa melibatkan sebarang keadaan huru hara pada waktu berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!