PORT DICKSON - PRK Port Dickson adalah pilihan raya yang besar ertinya bagi ruang demokrasi yang terbuka untuk menentukan seorang wakil yang akan hadir di Parlimen, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau berharap PRK ini berjalan lancar dan sempurna untuk pengundi memberikan sokongan penuh terhadap calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Istimewanya calon yang diletakkan adalah Anwar iaitu Presiden PKR dan juga merupakan pimpinan tertinggi dalam PH.

"Beliau sekarang orang biasa..tetapi, kalau beliau menghendaki sumbangan bermakna kepada parti dan negara, beliau harus lalui proses yang dipilih melalui pilihan raya dan berfungsi sebagai ahli Parlimen dalam menyuarakan masalah dihadapi penduduk," katanya ketika berucap di Kampung Bagan Pinang, di sini, tadi.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, dalam sistem pimpinan PH, perbincangan dibuat secara demokratik dan sebulat suara membincangkan hala tuju parti dan membantu suatu keupayaan kepimpinan yang kuat dan kukuh.

Katanya, ini bagi memastikan kepimpinan mantap agar dapat menyempurnakan amanah rakyat dengan baik.

"Sebab itu kita telah bermuafakat dan memutuskan bahawa bila PRU lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dicalon sebagai perdana menteri dan dengan sokongan rakyat PH diberi kepercayaan membentuk kerajaan.

"Di antara lain, kita telah putuskan bahawa selepas Dr Mahathir bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerajui negara hari ini, akan sampai satu peringkat sesuai maka Anwar akan ambil alih perdana menteri kelapan," katanya.

Tambahnya, inilah yang terkanun dalam muafakat kepimpinan tertinggi PH dan apa yang berlaku di Port Dickson ini adalah proses untuk menentukan kemuafakatan itu menjadi kenyataan.

"Dengan cara ini, kita dapat tentukan hala tuju negara kita," katanya.