BATU PAHAT – PKR memberi jaminan sistem e-undi yang diguna pakai dalam pemilihan parti di beberapa negeri semalam, akan ditambah baik bagi memastikan proses pengundian di negeri-negeri seterusnya berjalan lancar.

Pengerusi Biro Politik PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, jika permasalahan itu masih tidak dapat diatasi dalam tempoh terdekat, kemungkinan besar proses pemilihan di negeri-negeri lain yang belum melaksanakan pemilihan akan dijalankan secara manual dengan memangkah nama calon pada kertas undi.

“Kita tidak mahu kekecohan berlaku di Pulau Pinang dan Kedah, berlaku di negeri-negeri lain.

"Kita juga tidak mahu ada anggota di negeri lain berasa tawar hati untuk keluar mengundi disebabkan masalah ini, walaupun sistem ini dianggap sebagai aras baharu dalam menampilkan pembaharuan sistem demokrasi diamalkan di Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kecemerlangan Motivasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat daerah Kluang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa di sini, hari ini.

Mohd Rashid berkata, kekecohan yang berlaku membuka mata pihaknya untuk menambak baik sistem e-undi berkenaan agar lebih efisien.

Selain itu, ia menunjukkan betapa pentingnya proses simulasi harus dilakukan terhadap sistem baharu bagi menguji keberkesanannya, kata beliau.

“Simulasi lebih perlu jika kawasan (cabang) mempunyai akses dan rangkaian internet yang terhad,” katanya.

Semalam, proses pengundian bagi pemilihan PKR di beberapa cabang di Kedah dan Pulau Pinang terpaksa diadakan lewat dan ditangguhkan ke tarikh lain ekoran beberapa isu terutamanya masalah teknikal dan kelemahan petugas di pusat mengundi. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Undian lewat, sistem e-voting gagal berfungsi]