SEREMBAN - Lima penyandang kerusi Parlimen Rembau dijangka akan dikekalkan sebagai calon pada PRU14 ini.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menamakan kelima-lima calon sedia ada ini kepada pimpinan pusat.

Mereka adalah, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Adun Chembong, Datuk Saifulbahri Idris; Adun Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said; Adun Paroi, Ghazali Wahid dan beliau sendiri sebagai Adun Rantau.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, bagi kerusi Parlimen Rembau, beliau telah menetapkan bahawa kesemua penyandang dijangka akan bertanding semula, namun begitu keputusan akhir hanya akan diputuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Di Parlimen Rembau, saya telah menamakan kesemua penyandang kerusi sebelum ini sebagai calon PRU14, termasuk nama saya bagi Dun Rantau, ”katanya di Program Sukan Rakyat dekat Taman Kelab Tuanku hari ini.

Ditanya mengenai pencalonan pendakwah, Shamsul Debat di Dun Lenggeng, Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui perkara tersebut.