JOHOR BAHRU - Keputusan Gerakan keluar BN adalah sesuatu yang telah dijangka sejak kekalahan parti berkenaan pada PRU14 yang lalu.

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu juga jelas tidak memeranjatkan pihaknya serta bukan satu masalah besar yang harus diratapi.

“Gerakan keluar BN itu memang kita dah jangka, ia bukan satu tindakan yang memeranjatkan Umno.

“Mereka nak bergerak bebas, saya cuma boleh ucapkan selamat maju jaya. Tiada masalah untuk Umno, ia memberi peluang kepada kita untuk mengambil semula semua kerusi yang telah dipinjamkan,” katanya kepada Sinar Harian, sebentar tadi.

Berhubung sokongan rakyat terhadap BN khususnya kaum Tionghoa yang beralih arah selepas keluarnya parti tersebut, Mohamed Khaled berkata, tiada apa yang akan terjejas kerana BN sentiasa mempunyai perancangan untuk persediaan PRU akan datang.

“Kita ada persediaan, daripada sokongan itu kita tidak mempunyai masalah pun. Mungkin dalam PRU selepas ini calon Umno tidak lagi akan menggunakan logo BN.

“Jadi jika sokongan mereka (penyokong Gerakan) kepada BN sudah tiada, tidak memberikan masalah besar. Kita mahu tumpukan kepada yang menyokong terutama untuk Umno sendiri,” katanya.

Terdahulu, Parti Gerakan hari ini, sebulat suara memutuskan untuk keluar BN dan mahu bergerak bebas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, jawatankuasa pusat parti itu berkata, keputusan tersebut adalah berikutan selepas perbincangan serius dan komprehensif serta mengambil kira perkembangan politik semasa negara selepas PRU14.