KUALA LUMPUR - Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan calon jawatan dalam pemilihan parti tidak perlu untuk membuat sebarang serangan peribadi kepada calon lain.

Zuraida berkata, sudah berlalu era politik berkenaan dan kini sudah tiba masanya memikirkan perubahan buat parti serta perubahan buat negara.

Menurutnya, kini bukanlah masanya untuk mencabar, berbahas-bahas, menunjukkan kepetahan kerana kini adalah masa untuk bekerja.

"Ini yang disebutkan Tun M (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad)... sudah berlalu masa membangkang, membantah. Kena behave sebagai kerajaan.

"Sekarang masanya turun padang dan buat kerja," katanya selepas ditemui pada program pelancaran Girl2leader di Hotel Corus, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau akan meneruskan kerjanya dan tidak merasa tergugat dengan  perkara berkenaan.

"Orang akan melihat saya buat kerja dan itulah caranya saya buktikan saya bekerja... saya buat kerja dari dulu lagi," katanya.

Zuraida ketika ditanya mengenai amaran jangan mengamalkan politik licik yang dikeluarkan oleh bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua hari lalu menyatakan amaran berkenaan dibuat pada masa yang tepat.

"Memang sesuai bakal presiden (Anwar) keluarkan amaran kepada mereka yang amalkan politik kotor walaupun pada peringkat pemilihan parti,” katanya.