REMBAU - BN negeri mengarahkan kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri khususnya Umno supaya melakukan gerak kerja yang lebih mantap serta tersusun dalam menghadapi PRU14.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera parti iaitu PDM mesti  bergerak kerana berada di peringkat akar umbi yang sentiasa bersama-sama dengan masyarakat serta menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan antara rakyat dan kerajaan serta sebaliknya.

Menurutnya, jentera PDM tidak perlu memikirkan soal bila PRU14 akan diadakan sebaliknya sentiasa melakukan gerak kerja seperti sesi penerangan,  sesi kerja-kerja kebajikan, sesi memungut serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Di Bahagian Rembau, kita dah laksanakan lebih 400 sesi penerangan. Lagi lama masa diberikan, lagi banyak kerja yang kita dapat buat... PRU ni macam peperangan...peperangan untuk menentukan masa depan hidupnya parti dan perjuangan kita.

“Macam mana bagus pun, kuat pun, rajin pun wakil rakyat tetapi tidak didokong oleh jentera parti (PDM) susahlah. Begitu juga sebaliknya. Kalau tak ada semua ini... inilah lompang-lompang yang kadang-kadang diisi elemen-elemen unsur-unsur fitnah yang akan mengambil alih perhatian orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau di Dewan Sri Rembau, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ketua sayap parti Bahagian Rembau.

Mohamad berkata, beliau tidak menetapkan sasaran pencapaian bahagian Umno lain, namun menetapkan sasaran bagi setiap bahagian di negeri ini supaya memastikan semua kerusi yang ditandingi Umno menang bagi membolehkan penubuhan kerajaan negeri dalam PRU14.

Bagaimanapun katanya, pada Khamis ini, satu pertemuan dengan parti komponen BN, MCA akan dilaksanakan bagi melihat sejauh mana jentera parti MCA sudah bersiap sedia menghadapi PRU14.

“Sejauh mana kesiap sediaan PRU mereka (MCA)...dah ada jentera PDM dia (MCA)... saya dah arahkan Umno supaya bergerak dalam kawasan MCA sebab dalam kawasan MCA ada banyak PDM yang diuruskan oleh Umno sendiri.

“Saya nak bantu mereka, saya tak boleh padang ringan sebab 10 kerusi Dun sebelum ini semuanya kalah... kalau tak ada klu, tak ada cara, kita nak mereka ikut cara Umno. Begitu juga dengan Parlimen Telok Kemang, MIC...jentera parti mesti ada.

 

 
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.