KOTA BHARU - Pas memberi kebebasan sepenuhnya kepada anggota PKR sama ada untuk meletak jawatan atau pun kekal berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia terpulang kepada pemegang jawatan masing-masing walaupun mesyuarat Biro Politik PKR mengarahkan mereka supaya meletakkan jawatan.

"Bagi kita dalam konteks Pas, kita di Kelantan kita buat keputusan untuk mengekalkan mereka (anggota PKR dalam pentadbiran kerajaan negeri). Tapi kalau mereka mengambil keputusan tarik diri atau letak jawatan, itu adalah pilihan mereka.

"Sama ada mereka sendiri ataupun mereka diarahkan oleh parti, (letak jawatan), itu dibenarkan oleh undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata bahawa parti itu memutuskan supaya semua lantikan politik anggota PKR dalam kerajaan Kelantan melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta dan keputusan itu telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini berkata, Pas Kelantan berharap agar mana-mana anggota PKR yang dilantik dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak meletakkan jawatan.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata beliau mengalu-alukan anggota PKR berkenaan terus kekal dengan jawatan masing-masing dan terus dapat menjalankan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita tidak merasakan sebagai keperluan untuk mengarahkan anggota PKR meletak jawatan. Jadi sekarang ini terserah kepada mereka, kalau mereka memilih untuk kekal itu lebih baik dan kita mengalu-alukan keputusan itu.

"Kami di Kelantan ini berharap  kawan-kawan kita (anggota PKR) masih kekal dengan pelantikan mereka untuk terus memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Mengulas perkara sama, Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata pihaknya sedang menunggu surat rasmi daripada ibu pejabat parti berhubung hal berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Memang arahan itu kita ada terima melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook tetapi itu hanya kenyataan umum. Buat masa ini kita mengambil pendekatan untuk menunggu surat rasmii," katanya.

Tanpa menyebut jumlahnya, Ab Aziz berkata terdapat anggota PKR dilantik sebagai penghulu tanpa mukim, penyelia Dewan Undangan Negeri dan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Khamis lepas, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR berikutan tindakan parti itu melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara Pas dan PKR yang terjalin sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :