KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lupa menyelit ucapan penghargaan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyampapikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno, lewat petang tadi.

Najib akui terhutang budi kepada kedua-dua bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri itu.

"Saya terhutang budi kepada dua pemimpin besar yang menjadi ketua saya selama ini.

"Pertama, saya nak ucapkan penghargaan saya kepada Tun Dr Mahathir. Kenapa saya sebut nama Tun Mahathir dalam perhimpunan ini? Kerana tanpa disuruh oleh saya, beliau telah secara sukrela sanggup berjumpa dengan semua pemimpin Umno seluruh negara," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan.

Dr Mahathir menjadi Presiden Umno dari 1981 hingga 2003 manakala Abdullah pula 2003 hingga 2009.

Beliau memberitahu pertemuan tahunan kali ini Dr Mahathir bertemu ahli Umno lain kerana mahu menyampaikan pesanan demi kepentingan parti.

"Dia (Tun Mahathir) kata saya nak beritahu ahlia-hli ahli Umno pentingnya menyokong Umno... bukan sokong individu tetapi sokong parti kerana kalau parti masih berkuasa, perjuangan masih boleh diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada Abdullah.

"Saya juga terhutang budi pada Pak Lah. Beliau yang sentiasa memberi sokongan. Sanggup melepaskan jawatan mengikut tradisi parti mengikut cara yang begitu baik.

"Dia (Pak Lah) kata 'I want to see you do better than what I did'... terima kasih Pak Lah," katanya.

Kedua-dua Dr Mahathir dan Abdullah berada di Dewan Merdeka ketika Najib menyampaikan penghargaan beliau.

Abdullah merupakan perwakilan Perhimpunan Agung Umno.