BERA - Orang Melayu perlu mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum akan datang menerusi Umno dan BN bagi memastikan hak dan nasib kaum itu terus terbela.

Ahli Majlis Tertinggi  Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak dinafikan orang Melayu boleh hidup meskipun kerajaan dikuasai parti lain, cuma menjadi persoalannya bagaimana bentuk kehidupan selepas itu.

Ketua Umno Bahagian Bera itu berkata, piliharaya kali sangat getir dan semua jentera perlu bersiap siaga untuk memastikan kemenangan besar di setiap kerusi yang dipertandingkan.

"Melayu tetap hidup, tidak ada siapa kata Melayu mati, Melayu tetap hidup, tetapi kehidupan yang bagaimana? Kuasa sudah tiada, semuanya di tangan orang lain.

"Jika parti DAP memerintah, mungkin Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dimiliki orang Melayu mungkin dibubarkan, Tabung Haji juga tiada. Malah, Felda, Felcra dan Risda yang memberikan keutamaan kepada orang Melayu dan bumiputera dah jadi hak sama rata pula," katanya pada Program Pemerkasaan Paca dan Jentera D-Day PRU14 Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tular dalam WhatsApp bahawa orang Melayu di Selangor dan Pulau Pinang masih boleh hidup walaupun diperintah pembangkang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Mohd Fadil Osman dan Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno  meminta pihak pengurusan Felda supaya turun ke tanah rancangan bagi menjelaskan isu membabitkan organisasi berkenaan terutama berhubung isu tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Katanya, penerangan tepat perlu dilakukan supaya peneroka tidak dikelirukan dengan pelbagai isu khususnya kontroversi hak milik tanah di Jalan Semarak yang mungkin dijadikan modal politik pembangkang.

"Kita berharap isu Felda dijawab sendiri oleh orang Felda yang lebih mengetahui tentang fakta sebenarnya yang berlaku. Perkara sebegini lebih baik diterangkan sendiri oleh mereka daripada orang politik.

"Jika orang politik bercakap ada yang memandang remeh sebab beranggapan itu hanya cakap-cakap politik, tapi kita sebenarnya mahu masyarakat dapat penerangan yang tepat," katanya.