PERMATANG PAUH - Pemuda Umno Permatang Pauh meminta agar kerajaan Pakatan Harapan menumpukan kepada tiga isu penting iaitu sekolah tahfiz, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peningkatan harga barangan di pasaran dengan segera.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh Anuar Faisal Yahya berkata, kerajaan hari ini seharusnya menyokong penuh Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi melahirkan graduan huffaz yang mempunyai keseimbangan ilmu agama dan akademik pada masa depan.

“Kita mendesak agar kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan untuk meneruskan perkara yang baik seperti DPTN. Kerajaan diharap pada masa sama tidak melayan gesaan segelintir pihak untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz ini,” katanya.

Anuar berkata, pihaknya juga tidak bersetuju jika perlaksanaan UEC bagi anak-anak Cina diteruskan kerana ia bertentangan dengan dasar pendidikan negara sedia.

“Sebagai penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan menerapkan nilai-nilai harmoni bermasyarakat seharusnya jurang pemisah di antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ini harus dikurangkan.

“Kita seharusnya mendokong dasar pendidikan negara supaya diselarikan dan diguna pakai oleh semua sekolah termasuk SJKC,” katanya kepada Sinar Harian.

Tegasnya, tindakan tersebut hanya akan menimbulkan kecelaruan di dalam dasar pendidikan negara. Malah turut mengundang kemarahan rakyat.

"Dari mencetuskan dua isu ini, adalah lebih baik sekiranya kerajaan Pakatan Harapan hari ini menumpukan janji pada rakyat untuk menurunkan harga pasaran barangan yang dilihat terus membebankan rakyat.  

"Malah pengurangan GST kepada sifar peratus juga di lihat tidak mengubah harga barangan di pasaran. Ia sekaligus memberi tekanan kepada rakyat, terutama golongan miskin, petani dan juga nelayan," katanya.