SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan supaya tidak membelanjakan wang untuk kepentingan yang bukan berlandaskan keperluan sebenar rakyat.

Ketua Armada Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal berkata, kerajaan sepatutnya membantu rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.

"Tindakan kerajaan yang cuba menjadi hero kononnya ingin membantu Amerika Syarikat memperkukuhkan ekonomi mereka merupakan suatu tindakan yang tidak masuk akal.

"Dalam keghairahan kerajaan 'membantu ekonomi Amerika Syarikat' saya di sini ingin mengingatkan kerajaan bahawa jangan lupa membantu ekonomi rakyat negara sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Zahin menyifatkan tindakan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pelaburan infrastruktur di Amerika Syarikat yang melibatkan AS$3 hingga AS$4 bilion (RM12 hingga RM16 bilion) merupakan suatu tindakan yang mementingkan diri.

Menurutnya, masih banyak industri di negara ini memerlukan sokongan kewangan dari kerajaan.

"Mengapa kita, sebuah negara membangun membantu sebuah negara 'super power' untuk membangunkan infrastruktur mereka?

"Apakah jaminan pihak kerajaan pelaburan yang sebegini banyak akan mampu memanfaatkan rakyat yang kini semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang amat tinggi?" soalnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.