KOTA BHARU - Kelantan menjelaskan pembelian sebuah kereta mewah kepada pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana keperluan dan bukannya sengaja boros.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Mercedes Benz E Class berkenaan dibeli untuk kegunaan setiausaha kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan juga akan menempah beberapa lagi Mercedes dikhaskan kepada Exco baharu memandangkan kenderaan sebelum ini sudah lama digunakan dan ada di antaranya dibeli oleh bekas Exco.

“Bukan perkara baru, masa zaman arwah (Tok Guru) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi kita guna kereta Mercedes. Tok Guru sendiri pun pakai X-Class. Kita beli berdasarkan kemampuan bukan sekali gus. Ada duit satu beli satu.

“Alasan mengapa kita tidak beli kereta murah sebabnya keperluan dan mengambil kira faktor keselamatan. Lagipun exco banyak menggunakan kenderaan untuk tugas masing-masing,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Kereta digunakan Setiausaha Kerajaan Kelantan yang menjadi pertikaian PH

 

Beliau mengulas tindakan Pengerusi PH Kelantan,Husam Musa yang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Kelantan membeli kereta mewah ketika mana mereka menghadapi masalah kewangan.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Amar juga menyindir bekas exco kanan kerajaan negeri berkenaan yang mana beliau sendiri sebenarnya mengetahui alasan Kelantan menggunakan Mercedes.

“Dia sendiri pun tahu, yang kos penyelenggaraan kereta Mercedes lebih murah daripada yang lain. Husam sendiri pun pernah jawab isu Mercedes,  alasan dia pun sama dari segi perbelanjaan selenggara juga,” katanya.

Mohd Amar berkata, kerajaan tidak mahu menyorok perkara sedemikian daripada pengetahuan rakyat biarpun kini negeri menghadapi masalah kewangan memandangkan perkara dilakukan itu mengikut peraturannya.