BUKIT GANTANG - Harapan Perak yakin mampu menawan tiga Dun membabitkan Dun Changkat Jering, Kuala Sepetang serta Trong dan Parlimen Bukit Gantang pada PRU14.

Naib Pengerusi Harapan Parlimen Bukit Gantang, Ir. Megat Shariffudin Ibrahim berkata, dalam keadaan tersebut secara umumnya bagi seluruh Dun akan berlaku dua senario.

Menurutnya, jika dilihat pada kawasan majoriti Melayu iaitu yang mempunyai komposisi penduduk Melayu sekitar 80 peratus manakala bukan Melayu lebih kurang 20 peratus, akan menyebabkan undi Melayu pecah kepada tiga iaitu kepada BN, Pas dan Harapan.

“Ini beri kelebihan kepada Harapan Perak kerana pengundi Pas akan undi Pas manakala pengundi Umno yang berpecah memihak kepada Bersatu bakal memberi undi kepada Harapan,” katanya.

Oleh yang demikian katanya, Harapan akan mendapat undi bekas ahli Umno dan kemudian dicampur pula dengan undi PKR, bukan Melayu serta selebihnya.

“Selain itu, senario undi penentu bukan Melayu dalam keadaan ini komposisi penduduk Melayu dan bukan Melayu dianggarkan sekitar 60 dan 40 peratus.

“Bagi pengundi kaum Cina sudah pasti mereka akan memberi undi kepada Harapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Shariffudin berkata, dalam masa yang sama, ia turut didorong oleh faktor gelombang rakyat yang sedar dan mahukan perubahan kerajaan.

“Kerajaan sedia ada sekarang perlu ditukar kerana telah berlaku banyak kesalahan urus dan tadbir, termasuk isu ekonomi negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berhubung cabaran yang terpaksa dihadapi Harapan untuk menang PRU14 di parlimen Bukit Gantang adalah untuk mengatasi penipuan dan muslihat PRU yang akan digunakan BN.

“Ia termasuklah isu persempadanan semula khususnya di Dun Changkat Jering apabila dua pusat daerah mengundi (PDM) akan dikeluarkan sekali gus menyebabkan Harapan kehilangan sekitar 8,000 pengundi,” katanya.

Megat Shariffudin berkata, secara peribadi, beliau berpandangan Pas sukar untuk mempertahankan kerusi parlimen kerana faktor undi penentu adalah pengundi Cina.

“Dengan kehadiran Bersatu, Harapan mampu menampung kekurangan undi ini,” katanya.