GEORGETOWN - Janji 'kembar' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berada di Pulau Pinang Sabtu lalu satu lagi usaha Barisan Nasional (BN) untuk membeli undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang mencerminkan perikatan itu gagal menepati janji-janji lama.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan janji berkembar yang diumumkan Najib itu sebagai mendedahkan kegagalan BN untuk menepati janji yang dibuat dahulu.

Beliau percaya pengundi Pulau Pinang tidak teruja dengan janji itu kerana ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk menyediakan perumahan dan pengangkutan awam hasil kutipan cukai yang diterima termasuk dari rakyat Pulau Pinang.

“Ini bukan janji baru kerana ia sudah dinyatakan dahulu, khususnya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"BN gagal memenuhi janji untuk membina monorel apabila berkuasa di peringkat Pusat dan negeri pada 2007. Adakah ini jaminan mereka untuk menunaikan janji jika berjaya menawan semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum nanti,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya,Najib sepatutnya peka dengan kegagalan Kerajaan Pusat sebelum ini untuk membina perumahan mampu milik yang mencukupi di negeri ini.

“Kerajaan BN harus malu kerana gagal membina perumahan mampu milik yang mencukupi di Pulau Pinang. Hanya 70 Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah akan dibina di Pulau Pinang oleh Kerajaan Pusat, iaitu jumlah yang paling kecil di antara semua negeri di Malaysia.

“Inilah perbezaan antara Pakatan Rakyat (PR) dan BN. BN mengamalkan kaedah tidak demokratik dan bersyarat "you help me, I help you", manakala PR membantu rakyat tanpa syarat sebagai tanggungjawab kerajaan berjiwa rakyat,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Dalam ucapannya pada Program Jelajah Janji Ditepati, Najib berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika BN diberi mandat semula untuk memerintah negeri itu.

Beliau berkata, 10,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala baki 10,000 unit dibina oleh agensi kerajaan termasuk JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).