KUALA LUMPUR - Pas menjangkakan kebangkitan gelombang hijau dalam penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 yang bakal diadakan pada 29 dan 30 September ini di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.

Pengerusi Fastaqim 2.0, Nasrudin Hassan berkata, sebelum ini rakyat dapat menyaksikan pelbagai kebangkitan seperti tsunami cina namun melalui himpunan tersebut, gelombang hijau bakal bangkit bagi memastikan kemenangan Pas dalam PRU14 akan datang.

“Mesej utama kita (Pas) dalam himpunan Fastaqim 2.0 ini adalah bagi memastikan PRU14 ini menjadi milik gelombang ketiga iaitu Pas dan kita turut mensasarkan jumlah kehadiran seramai 200,000 orang pada kali ini,”katanya ketika sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat Pas, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai himpunan tersebut, Nasrudin memaklumkan bahawa Fastaqim 2.0 bakal menyaksikan penggemblengan antara rakan-rakan di dalam blok ketiga meliputi parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu berpengaruh.

Beliau berkata, blok ketiga merupakan satu kebangkitan rakyat bagi memenangi PRU14 dan ia berbeza dengan pakatan lain di negara ini yang dilihat hanya menghimpunkan parti politik sahaja.

“Fastaqim merupakan perkataan diambil dari Bahasa Arab yang bermaksud kebangkitan digerakkan untuk mencari kemenangan dan melaksanakan perintah ALLLAH seperti didokong oleh Pas.

“Pas konsisten memperjuangkannya keadilan untuk semua, melawan segala bentuk penyelewengan, membasmi rasuah dan mengembalikan kesejahteraan Islam. Kita tak nak diancam pihak luar, tapi sejahtera dengan Islam,” katanya.

Ujar Nasrudin, selepas ini beliau juga bakal mengumumkan beberapa kejutan kepada orang ramai dalam tempoh seminggu sebelum penganjuran Fastaqim 2.0 tersebut.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai rundingan Pas dan PKR, Nasrudin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang rundingan rasmi dengan pihak berkenaan berkaitan politik mahupun PRU14 ini.

“Pertemuan antara Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini hanyalah bertujuan ziarah biasa.

“Pas sudah ada keputusan dan ketetapan yang diputuskan oleh pusat dimana kita tak ada hubungan dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Tambah beliau, Pas perlu konsisten dengan ketetapan yang telah dimuktamadkan dimana tiada kerjasama politik dengan Pakatan Harapan memandangkan ia hanya akan menyukarkan parti Islam ini untuk menghadapi PRU14 akan datang.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.