SHAH ALAM - Pakatan Harapan perlu segera mendaftar menggunakan satu lambang sebagai agenda menghadapi PRU14, sekali gus persediaan menjadi kuasa baharu politik di Malaysia.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pakatan Harapan dan parti-parti komponennya wajar membawa ‘politik baharu’ dalam pengurusan dan pendekatan kepimpinan.

"Bersedia dan perlu sentiasa berlapang dada untuk menghadapi kritikan daripada ahli bawahan serta perbezaan pandangan dan pendekatan.

"Harapan rakyat kini hanya kepada Pakatan Harapan. Tiada lain diharapkan, jangan kecewakan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, strategi tiga penjuru mesti dipersiapkan untuk menghadapi politik baharu.

"Oleh itu saya berkeyakinan jika Pakatan Harapan bersiap dari sekarang untuk tiga penjuru, Insya-ALLAH  Pakatan Harapan akan menjadi kuasa baharu politik Malaysia pada PRU14," katanya.

Mahfuz juga menyampaikan ucapan tahniah kepada pimpinan Pakatan Harapan selepas mencapai kata sepakat pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, 13 Julai lalu.

"Saya mengharapkan selepas ini perlu penyelesaian kepada agenda yang lebih konkrit dan terperinci di dalam manifesto menyentuh reformasi institusi yang benar-benar memberi keadilan dan melindungi negara demi rakyat," katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan perlu menggerakkan gelombang baharu bagi menghadapi PRU14.

Kesedaran rakyat khususnya bangsa Melayu perlu digerakkan agar minda Melayu tidak tertelan racun perkauman Umno/BN.

"Pakatan Harapan bersama rakyat Malaysia ke hadapan demi merubah masa depan Malaysia dengan agenda perubahan yang jelas," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :