SHAH ALAM - PKR hari ini membuat kejutan pertukaran dua calon PRU14 antara calon Dun Kota Anggerik dan Seri Setia.

Perkara itu disahkan calon Dun Seri Setia, Najwan Halimi ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Najwan berkata pertukaran kerusi itu dibuat ketika penyerahan watikah oleh Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada calon di Petaling Jaya, pagi ini.

Menurutnya, calon Kota Anggerik yang juga Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meminta pihaknya membuat pertukaran kerusi.

"Perkara itu dikemukakan kepada Presiden dan beliau bersetuju.

"Jadi saya dan Shaharuddin membuat pertukaran di hadapan presiden," katanya.

Beliau berkata, sejurus itu pihaknya secara sah menjadi calon Kota Anggerik dan Shaharuddin di Seri Setia.

"Pada malam ini saya sudah menggerakkan jentera dan bermesyuarat dengan kepimpinan PKR Cabang Shah Alam untuk membincangkan gerak kerja dan strategi.

"Saya akui pertukaran kerusi ke Kota Anggerik sedikit menjejaskan kedudukan saya, sebelum ini saya sudah menggerakkan jentera dan kerja-kerja parti selain mempunyai pengikut di Seri Setia," katanya.

Terdahulu, PKR menamakan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Unisel, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin sebagai calon di Dun Kota Anggerik manakala anggota AMK, Najwan Halimi di Dun Seri Setia.

Najwan, 33, merupakan calon muda mewakili PKR, pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Kota Anggerik, Najwan akan berdepan dengan wakil Pas yang merupakan pendakwah terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani dan calon BN, Jumaeyah Masdi.

Manakala di Dun Seri Setia, Shaharuddin akan berdepan dengan calon BN, Datuk Yusoff M Haniff dan Pas, Mohd Ghazali Daud.