BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan calon Harapan Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya sebagai setiausaha politik beliau.

Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, sebaliknya individu berkenaan adalah pegawai khas kepada salah seorang setiausaha politiknya.

“Saya ingin jelaskan bahawa salah seorang pegawai yang menjadi pegawai khas kepada setiausaha politik saya kerana tidak dicalonkan semalam umum untuk menyertai PKR.

“Jadi beliau bukan setiausaha politik saya tetapi pegawai khas kepada setiausaha politik saya, saudara Muslimin,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas melawat sekitar Waterfront Bagan Datuk, pagi tadi.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Muslimin pernah menyuarakan hajatnya untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar tetapi dia mengambil keputusan untuk menyertai PKR.

“Saya berharap pendirian beliau itu adalah pendirian individu dan tidak dikaitkan dengan setiausaha politik saya dan saya mengucapkan selamat berjaya kepadanya.

“Berkenaan permasalahan di Sungai Besar saya serahkan kepada pemimpin Sungai Besar untuk menangani permasalahan ini,” katanya.

Terdahulu Harapan mengumumkan Muslimin yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon sebagai calon mereka di Parlimen Sungai Besar.