KLANG - Barisan Nasional (BN) Kapar yakin akan memenangi kesemua kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen di kawasan itu termasuk DUN Sungai Pinang yang merupakan kerusi tradisi DAP.

Pengerusi BN Kapar Datuk Abdul Rahman Palil berkata respons positif diterima daripada pengundi di kawasan itu yang melihat sendiri, walaupun BN tewas di kawasan parlimen dan tiga kerusi DUN di situ, bantuan daripada kerajaan persekutuan tetap diteruskan.

"Mood pengundi sangat memberangsangkan dan memberikan kami keyakinan untuk menebus kembali kekalahan dan memenangi semua kerusi di  kawasan parlimen Kapar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13)," katanya kepada pemberita di sini selepas melancarkan jentera BN Kapar malam tadi.

Pada PRU 2008 BN tewas merebut kerusi parlimen Kapar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta kalah di tiga kerusi DUN iaitu Meru (kalah kepada PAS), Sungai Pinang (kalah kepada DAP) dan Selat Klang (kalah kepada PAS). BN menang tanpa bertanding di Dun Sementa.

Beliau berkata BN terus menyalurkan bantuan walaupun tewas di kawasan berkenaan termasuk bantuan bencana banjir yang diberikan melalui Majlis Keselamatan Negara, elaun sara hidup nelayan kepada lebih 2,000 penerima, subsidi nelayan, baik pulih jeti, bantuan pertanian dan hadiah pelajar cemerlang.

Katanya penduduk tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik turut menikmati bantuan seperti bantuan awal persekolahan, Bantuan Rakyat  1Malaysia (BR1M) dan BR1M untuk orang bujang.

Penyelaras DUN Sungai Pinang Datuk Song Kee Chai berkata respons daripada pengundi Cina juga amat menyenangkan selepas mereka sendiri  melihat kerajaan persekutuan terus menyalurkan bantuan berbanding kerajaan pembangkang yang memerintah.

"Lebih 1,100 nelayan kaum Cina menikmati bantuan kira-kira RM6 juta melalui elaun sara hidup yang diterima serta lain-lain bantuan," katanya.

Beliau berkata gabungan serta kerjasama yang lebih erat antara tiga parti komponen BN  - Umno, MCA dan MIC - akan memberikan kemenangan pada PRU13. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Beberapa wakil rakyat khususnya dari BN dan Pas yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing dijangka akan menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU14.
  • KUALA LUMPUR - Umno tidak boleh memperlekeh kekuatan dan kelebihan yang dimiliki pihak lawan khususnya dalam mendapatkan undi Melayu pada PRU14 yang bakal disertai parti serpihan mereka, Bersatu.
  • MELAKA - Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan cadangan 'calon langsung' adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen dalam BN pada PRU14 nanti.
  • SHAH ALAM - BN dijangka boleh menambah negeri pentadbiran dengan merampas Kelantan daripada Pas pada PRU14.
  • KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung awal bulan depan bakal menjadi titik tolak kepada pergerakan jentera penerangan Umno yang lebih intensif dan ekstensif sebagai persediaan menghadapi PRU14.