SHAH ALAM - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan dirinya keluar Umno, kurang 24 jam selepas tindakan serupa dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, keputusan meninggalkan parti yang disertainya sejak lebih 25 tahun tersebut berkuat kuasa serta-merta.

“Betul saya keluar Umno. Ia berkuat kuasa serta-merta," katanya kepada Bernama.

Anifah berkata beliau akan mengulas lanjut tentang keputusannya itu pada sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, portal Free Malaysia Today yang memetik sumber berkata, Ahli Parlimen Kimanis itu menghantar surat pengundurannya kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar daripada Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]

Mustapa berkata, keputusan itu dibuat selepas merasakan hala tuju Umno pada masa ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Rentetan pengunduran Mustapa itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan Mustapa keluar Umno adalah disebabkan kerjasama Umno-Pas.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu juga berkata, kehilangan Mohamed atau Tok Pa memberi erti parti itu kehilangan cahaya yang mampu memberi perubahan selepas kalah dalam PRU14 lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar parti sebab Umno-Pas: KJ ]