MACHANG - Pas kini mengamalkan politik matang dan konstruktif, tidak lagi membuat serangan semberono terhadap sesuatu isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu menyiasat sebelum membuat kesimpulan atau keputusan.

“Dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) Pas panggil (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) dan selepas penjelasan oleh Arul Kanda, baru Pas buat pendirian.

“Pendiriannya ialah memahami bahawa kita perlu beri peluang kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dan apabila berjaya nanti bererti masalah 1MDB boleh selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib, yang juga Presiden Umno, turut merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Machang.

Hadir sama, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Najib berkata, hasil kematangan berpolitik menjadikan Pas parti pembangkang yang konstruktif.

“Kita bersaing (berlawan) tetapi dalam hal-hal tertentu yang boleh memberi manfaat dan kebajikan, kita boleh bekerjasama,” katanya.

Ditanya adakah kerjasama itu akan melangkah lebih jauh, iaitu kerjasama politik, Najib berkata: “Itu tak tahu lagi. Kita tengok keadaan.”

Sementara itu, sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu hutang dan aliran wang 1MDB adalah suatu yang mesti disiasat secara telus dan menyeluruh bagi menghukum semua individu atau pihak yang disabit salah.

"Pas konsisten menggesa dan mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini secara bebas.

"Isu ini mesti diselesaikan cepat dan wajar pesalahnya dihukum," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor yang mendakwa kerajaan Selangor cakap tak serupa bikin ibarat sindiran terhadap perdana menteri yang sebenarnya cakap tidak serupa bikin.
  • SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan beliau terhadap timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebalik apa yang dilihat sebagai cubaan seorang bekas pemimpin negara untuk melaga-lagakan mereka.
  • KAJANG - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjawab dakwaan yang dikemukakan Armada sebelum mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada forum Nothing to Hide 2.0.
  • KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.